Thursday, March 15, 2007

Gerhana Bulan Penuh 4 Mac 2007





Subahanallah...

kejadian gerhana bukan mudah untuk kita perhatikan.. dalam setiap peristiwa gerhana tidak semua penduduk bumi berpeluang menikmatinya..

Masih segar dalam ingatan ini kali pertama dan terakhir melihat gerhana matahari penuh, ketika itu aku masih di sekolah rendah. Kami semua keluar kelas menghayati keindahahan ciptaan Tuhan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Guru melarang kami melihat secara terus, maka kami memerhati kejadian gerhana itu melalui plastik filem, melalui takungan air dan pada yang kreatif, mereka melipat plastik pembalut hamper yang berwarna gelap untuk memerhati kejadian gerhana tu. Selepas daripada itu, aku sempat melihat gerhana bulan bila dapat informasi awal,jika tidak silap perkiraan ketika itu aku di sekolah menengah. Berita tentang kejadian gerhana dan lintasan plenet seterusnya tetap ku nanti dan aku ikuti melalui media sahaja. Minat ku pada dunia astronomi ini telah lama terpendam, namun diri ini perlu utamakan apa yang utama..

Masih teringat pada satu malam ketika pameran astronomi di kampus, ketika itu di dataran kawat, orang ramai mencerap planet dan bintang dengan teropong masing-masing, sorang student astronomi datang dan terangkan macam-macam informasi tentang bintang dan planet, dia berikan jadual bintang, dia ajarkan bagaimana mengetahui arah kiblat dari arah bintang, tentang jula-juli bintang tujuh, sifat-sifat dan nama bintang.. sungguh aku teruja ketika tu, dalam gelap berbekal lampu suluh, banyak informasi baru dipelajari. Syukur, kami ditakdirkan bertemu pada malam sebelum itu di hostel secara tidak sengaja setelah berbual secara ringkas dia mempelawa untuk menyertai kumpulannya mencerap di dataran itu. Dalam hati tak henti-henti memuji dengan rasa kagum dengan ciptaan Pencipta Maya. Kehebatan Dia mengatur perjalanan bintang-bintang, plenet, galaksi dan seisi angkasaraya yang penuh keajaiban dan juga mengatur setiap pertemuan yang bererti.

Kejadian gerhana paling baru adalah kejadian gerhana bulan penuh seperti video slide di atas, jika di Malaysia kejadian ini berlaku pada 4 Mac 2007. Nak tau lebih lanjut cuba lihat di portal ini
http://www.falak-online.net/myportal/
atau yang ini
http://www.geocities.com/bruastronomy/welcome.htm
atau melalui sumber lain yang berkaitan.

Secara ringkas tentang kejadian gerhana. Umumnya terdapat dua jenis gerhana iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari.

Gerhana bulan berlaku apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan .Bumi akan melindungi Bulan daripada menerima cahaya Matahari dan bayang Bumi akan jatuh ke atas permukaan Bulan . Maka, Bulan tidak kelihatan bercahaya di langit selama beberapa ketika.


Manakala gerhana matahari berlaku apabila Bulan berada di antara Matahari dan Bumi. Bulan akan melindungi Bumi daripada menerima cahaya Matahari.Bayang Bulan akan jatuh ke atas permukaan Bumi. Maka,Bumi akan mengalami kegelapan selama beberapa ketika


Gerhana bulan dan matahari ini mempunyai 2 peringkat iaitu umbra (bayang lengkap) dan penumbra (bayang separa lengkap).

Sambil-sambil ini mari kita menyelusuri kembali antara terjemahan kalimah Allah dalam kitab sucinya yang menjadi panduan sepanjang zaman tentang langit, bintang-bintang dan seisi angkasaraya:

Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

"segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang maha Menguasai (sekalian alam) Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana" (Al-Jumu'ah:1)

"Segala yang berada di langit dan bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dia sahajalah yang menguasai dan memiliki langit dan bumi. Dia menghidupkan dan Mematikan. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; Yang Zahir dan Yang Batin; dan Dialah Yang maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah yang telah mencipta langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam (sesuai dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya) di atas 'Arasy; Dia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya; dan dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dia sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. Dialah yang memasukkan waktu malam kedalam waktu siang, dan memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam (silih berganti); dan Dialah yang Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada." (Surah Al-Hadid:1-6)

"Demi langit yang datang pada malam hari; apakah engkau mengetahui apa yang datang pada malam hari itu? (iaitu) bintang dan sinaran cahayanya menembusi (kegelapan malam). Sesungguhnya setiap jiwa mempunyai penjaganya. Maka hendaklah manusia memikirkan; daripada apakah dia diciptakan? "(Al-Tariq:1-5)

"Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (dengan bumi)dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat rejaman terhadap syaitan-syaitan serta Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang apinya:" (Al-Mulk:5)

"Satu bukti lagi untuk mereka (berfikir) ialah malam. Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada di dalam kegelapan; (antara bukti-bukti juga ialah) Matahari yang beredar di orbitnya, itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui; Bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa manzilah (fasa), sehingga di akhir peredarannya ia kembali seperti tandan yang kering (berbentuk melengkung menurut pandangan mata). (dengan ketentuan demikian), matahari tidak mungkin mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang. Tiap-tiap satunya beredar di orbit masing-masing." (Yasin:37-40)

Subahanallah.. semoga kita mendapat pengajaran dari kalimah-kalimah karamah Pencipta maya, Yang Maha Mengetahui segala sesuatu di langit mahupun dibumi...

No comments: