Tuesday, May 29, 2007

Diam itu emas



Dalam usaha mendewasakan diri kita, salah satu langkah awal yang harus kita pelajari adalah bagaimana menjadi seorang yang berkemampuan di dalam menjaga dan memelihara lisan dengan baik dan benar. Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah saw, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata benar atau diam.", hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari.

1. Jenis-jenis Diam
Sesungguhnya diam itu terdapat bermacam-macam penyebab dan kesannya. Ada yang dengan diam jadi emas, tetapi ada pula dengan diam akan menjadi masalah. Semuanya bergantung kepada niat, cara, situasi dan juga kondisi pada diri & persekitarannya. Berikut ini adalah jenis-jenis diam:

a. Diam Bodoh
Iaitu diam kerana memang tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Hal ini disebabkan kekurangan ilmu pengetahuan dan ketidakmengertiannya, atau kelemahan pemahaman dan alasan ketidakmampuan lainnya. Namun diam ini jauh lebih baik dan bebas daripada memaksakan diri dari berpura-pura tahu.

b. Diam Malas
Diam jenis ini merupakan satu keburukan, kerana diam pada saat atau ketika orang memerlukan perkataannya, dia enggan berbicara kerana merasa diri sedang tiada mood, tidak berselera atau malas.

c. Diam Sombong
Diam jenis ini juga termasuk diam negatif kerana dia bersikap diam berdasarkan anggapan bahawa orang yang diajak berbicara tidak sama taraf dengannya.

d. Diam Khianat
Ini merupakan diam orang jahat kerana dia diam untuk mencelakakan atau mrnyusahkan orang lain. Diam pada saat diperlukan kesaksian yang menyelamatkan adalah diam yang keji.

e. Diam Marah
Diam seperti ini ada kebaikkan dan keburukannya, kebaikkannya adalah lebih terpelihara dari perkataan keji yang akan lebih mengeruhkan lagi suasana. Keburukkannya adalah dia berniat bukan untuk mencari penyelesaian tetapi untuk memperlihatkan kemarahannya, sehingga boleh jadi diamnya ini juga menambah masalah.

f. Diam Utama (Diam Aktif)
Yang dimaksud diam utama adalah bersikap diam hasil dari pemikiran dan penelitian yang membuahkan keyakinan bahawa enggan bersikap menahan diri (diam) maka akan menjadi masalah lebih besar jika dibanding dengan berbicara.




2. Keutamaan Diam Aktif

a. Bebas dari MasaalahDengan memilih diam aktif, kita akan bebas dari mengeluarkan kata-kata yang berpeluang menimbulkan masaalah.

b. Bebas dari DosaDengan diam aktif maka peluang tergelincir kata atau terlepas cakap yang menyebabkan dosa akan menipis, maka terhindarlah dari kesalahan kata yang menimbulkan kemurkaan Allah.

c. Hati Sentiasa Terjaga dan TenangDengan diam aktif bererti hati akan sentiasa terjaga dari sifat riak, ujub, takabbur atau pelbagai penyakit hati lain yang akan mengeraskan dan mematikan hati kita.

d. Lebih BijakDengan diam aktif bererti kita menjadi pendengar & pemerhati yang baik dan boleh diharapkan dalam menghadapi sesuatu persoalan atau permasalahan. Kefahamannya jauh lebih mendalam dan teliti sehingga keputusan yang dibuat jauh lebih bijak dan tepat.

e. Hikmah Akan Muncul Yang tak tidak kurang pentingnya, orang yang mampu menahan diri dengan diam aktif adalah bercahaya qalbunya, mampu memberikan buah fikiran dan gagasan yang cemerlang, hikmah dari Allah swt akan menyelimuti hati, lisan, serta sikap dan perilakunya.

f. Lebih Berwibawa Tanpa disedari, sikap dan penampilan orang yang diam aktif akan menimbulkan wibawa tersendiri. Orang akan menjadi lebih segan untuk mempermainkan atau meremehkan.

Selain itu, diam aktif merupakan kemampuan menahan diri dari beberapa perkara seperti:
  • Diam dari perkataan dusta
  • Diam dari perkataan sia-sia
  • Diam dari komentar spontan dan kasar
  • Diam dari kata yang berlebihan
  • Diam dari keluh kesah
  • Diam dari niat riak dan ujub
  • Diam dari kata yang menyakiti
  • Diam dari berpura-pura tahu dan pintar

Mudah-mudahan kita menjadi terbiasa dengan berkata benar atau diam. Semoga juga Allah reda hingga keakhir hayat nanti, saat ajal menjemput, lisan ini diperkenankan untuk menghantar pemergian roh kita dengan sebaik-baik perkataan iaitu kalimat tauhid "laa ilaha illallah" puncak perkataan yang menghantarkan ke syurga.

(Dipetik dari Rubrik Manajemen Qalbu situs Daarut Tauhiid)

Thursday, May 24, 2007

Pendidik Insan



Lagu :Guru Malaysia

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
(Lagu & Lirik : Hashim Ahmad)

Lagu yang pastinya membangkitkan semangat pendidik di tanah air kita. Yang dilagukan saban tahun pada tanggal 16 Mei.

Video di atas mungkin nampak tidak sesuai dengan kerjaya seorang guru.. walaubagaimanapun itu sahaja yang ada dan sesuai sedikit, yang dapat ku kongsikan. Hayatilah secara positif yer sahabat-sahabat :)

Cuba hayati bait-bait kalimah yang tersusun dalam lirik lagu ‘Guru Malaysia’. Ia memberi makna yang besar bagi mereka yang merasakan mereka adalah guru atau pendidik. Aku pernah menyaksikan guruku mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu keramat pendidik ni. Kini aku juga merasakan tempiasnya secara tidak langsung.

Lirik lagu ini secara tidak langsung menjadi ikrar dan janji para pendidik untuk membentuk anak bangsa dan membantu dalam pembangunan Negara. Siapa pun kita hari ini, apa pun kepercayaan dan prinsip diri kita hari ini, Apa pun sumbangan kita pada keluarga, agama, bangsa dan negara pada hari ini, tetap beralaskan ilmu yang kita tangguk dari guru-guru kita... iyalah, seperti yang terkandung dalam sajak Allahyarham Usman Awang:-

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca


Tengok pula lihat pula pada rangkap akhir yang seolah meperlihatkan besarnya amanah seorang guru atau pendidik ini,
"Amanah yang diberi kami tak persiakan, apa yang kami janji tunai tetap kami tunaikan"
Jika dihayati frasa ini, kita dapat lihat setiap murid yang dihadapkan atau diamanahkan pada guru-guru ini adalah amanah mereka. Setiap tahun mungkin beratus-ratus murid yang menjadi amanah mereka yang perlu dididik dan dibimbing untuk menjadi manusia yang bermoral dan berilmu. Berat tanggungjawab mereka hanya mereka dan Pencipta yang tahu. Namun kerana amanah dan janji yang diikrarkan saban tahun tetap mereka bertahan dan terus mendidik. Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan kesabaran pada setiap pendidik yang menghayati amanah mereka ini. Kita mungkin pernah mendengar kisah guru yang tidak amanah dalam menjalankan amanah mereka, semoga mereka sedar akan amanah mereka.

Bagiku kalimah ‘guru’ tidak hanya bagi guru-guru peringkat sekolah, malah lebih relaven bagi semua pendidik yang mengajar dan mendidik anak bangsa dari semua peringkat. Waima dari peringkat ‘nursery’ atau taska hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Walau gelaran mereka mungkin berbeza namun jasa mereka tetap dalam kumpulan pendidik.. Maka tidak salah kiranya kita ucapkan 'selamat hari guru' pada para pensyarah kita atau pengasuh ‘nursery’ kita (pada mereka yang pernah diasuh di nursery)..

Pendidik, emm... sebenarnya besar skopnya.
  • Ibu dan bapa kita juga pendidik, tapi mandat mereka lebih tinggi dari seorang guru.
  • Pakar motivasi, Penceramah bebas dan fasilitator juga pendidik dalam konteks membangkitkan kesedaran dan membimbing.
  • Kakak atau abang yang banyak membimbing dan menasihat juga pendidik muda.
  • Siapa sahaja yang mendidik, membimbing dan menasihat kita menjadi insan berilmu dan bermoral juga pendidik
  • Kejadian alam juga adalah medium pendidikan bagi yang mahu memerhati dan berfikir falsafah disebalik kejadian alam, kerana alam juga adalah sebahagian dari medium didikan dari Pencipta khas untuk kita.

Kepada guru-guru ku, aku layangkan puisi tulisan Usman Awang yang mekar sepanjang zaman, buat penghias hari-hari kalian, SELAMAT HARI GURU :

-Guru oh Guru-

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Tuesday, May 22, 2007

Nukilan Hati : Antara Pena & Tinta

Membiarkan pena menari sendirian
Tanpa kawalan kuasa tangan
Membiarkan tangan mengikut lengguk pena
Tanpa memikir apa yang bakal terlukis
Indahkan natijah tinta itu
Akan jelekkah lakaran tinta itu
Atau akan beri ertikah lakaran itu

Hanya satu warna yang tercalit
Hanya garisan yang dicarik bertindih
Hanya memenuhkan kertas yang putih
Dengan cairan tinta tanpa erti
Hanya mengikut citra rasa pena
Hanya sendiri tanpa bersandar pada kuasa tangan dan minda

Kemanakah hilang ertinya
Kemanakah hilang sandaran akalnya
Kemanakah hilang panduan nuraninya
Kemanakah hilang sasarannya

Apakah nilai cakaran abstrak
Sedangkan yang melakar sendiri tidak mengerti
Apa yang terlakar oleh tangan yang memegang pena
Pena yang bertingkah mengalir tinta

Apakah ada nilainya
Atau akhir nanti
Lakaran pada kertas putih nan suci itu
Terbuang dibakul sampah sahaja

Anadai pena itu insan
Andai cairan tinta itu laluan kehidupan
Andai kertas itu dunia

Nukilan Hati,
Az-zirah
10 Mei 2007