Thursday, May 24, 2007

Pendidik Insan



Lagu :Guru Malaysia

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
(Lagu & Lirik : Hashim Ahmad)

Lagu yang pastinya membangkitkan semangat pendidik di tanah air kita. Yang dilagukan saban tahun pada tanggal 16 Mei.

Video di atas mungkin nampak tidak sesuai dengan kerjaya seorang guru.. walaubagaimanapun itu sahaja yang ada dan sesuai sedikit, yang dapat ku kongsikan. Hayatilah secara positif yer sahabat-sahabat :)

Cuba hayati bait-bait kalimah yang tersusun dalam lirik lagu ‘Guru Malaysia’. Ia memberi makna yang besar bagi mereka yang merasakan mereka adalah guru atau pendidik. Aku pernah menyaksikan guruku mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu keramat pendidik ni. Kini aku juga merasakan tempiasnya secara tidak langsung.

Lirik lagu ini secara tidak langsung menjadi ikrar dan janji para pendidik untuk membentuk anak bangsa dan membantu dalam pembangunan Negara. Siapa pun kita hari ini, apa pun kepercayaan dan prinsip diri kita hari ini, Apa pun sumbangan kita pada keluarga, agama, bangsa dan negara pada hari ini, tetap beralaskan ilmu yang kita tangguk dari guru-guru kita... iyalah, seperti yang terkandung dalam sajak Allahyarham Usman Awang:-

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca


Tengok pula lihat pula pada rangkap akhir yang seolah meperlihatkan besarnya amanah seorang guru atau pendidik ini,
"Amanah yang diberi kami tak persiakan, apa yang kami janji tunai tetap kami tunaikan"
Jika dihayati frasa ini, kita dapat lihat setiap murid yang dihadapkan atau diamanahkan pada guru-guru ini adalah amanah mereka. Setiap tahun mungkin beratus-ratus murid yang menjadi amanah mereka yang perlu dididik dan dibimbing untuk menjadi manusia yang bermoral dan berilmu. Berat tanggungjawab mereka hanya mereka dan Pencipta yang tahu. Namun kerana amanah dan janji yang diikrarkan saban tahun tetap mereka bertahan dan terus mendidik. Semoga Tuhan memberikan kekuatan dan kesabaran pada setiap pendidik yang menghayati amanah mereka ini. Kita mungkin pernah mendengar kisah guru yang tidak amanah dalam menjalankan amanah mereka, semoga mereka sedar akan amanah mereka.

Bagiku kalimah ‘guru’ tidak hanya bagi guru-guru peringkat sekolah, malah lebih relaven bagi semua pendidik yang mengajar dan mendidik anak bangsa dari semua peringkat. Waima dari peringkat ‘nursery’ atau taska hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Walau gelaran mereka mungkin berbeza namun jasa mereka tetap dalam kumpulan pendidik.. Maka tidak salah kiranya kita ucapkan 'selamat hari guru' pada para pensyarah kita atau pengasuh ‘nursery’ kita (pada mereka yang pernah diasuh di nursery)..

Pendidik, emm... sebenarnya besar skopnya.
  • Ibu dan bapa kita juga pendidik, tapi mandat mereka lebih tinggi dari seorang guru.
  • Pakar motivasi, Penceramah bebas dan fasilitator juga pendidik dalam konteks membangkitkan kesedaran dan membimbing.
  • Kakak atau abang yang banyak membimbing dan menasihat juga pendidik muda.
  • Siapa sahaja yang mendidik, membimbing dan menasihat kita menjadi insan berilmu dan bermoral juga pendidik
  • Kejadian alam juga adalah medium pendidikan bagi yang mahu memerhati dan berfikir falsafah disebalik kejadian alam, kerana alam juga adalah sebahagian dari medium didikan dari Pencipta khas untuk kita.

Kepada guru-guru ku, aku layangkan puisi tulisan Usman Awang yang mekar sepanjang zaman, buat penghias hari-hari kalian, SELAMAT HARI GURU :

-Guru oh Guru-

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


2 comments:

Anonymous said...

kenapa tak sesuai? bagi saya amat sesuai, kerna guru-guru sekarang terpaksa menjadi ultraman untuk menghadapi pelajar-pelajarnya yang kini bagaikan raksasa belaka. Setiap hari adalah peperangan.

Anonymous said...

mmg sesuai sesgt..sokong n mmg sesuai dgn keadaan pejar masa kini...ok teruskan perjuangan spt ultraman yang berjuang shgga lampu merah menyala...tp ingat,walau lampu merah dah menyala ultraman tetap teruskan perjuangan.....